Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera diucapkan kepada semua pembaca.

Dalam artikel hari ini, saya akan berkongsi Pengalaman Menerima Suntikan Vaksin AstraZeneca buat kali pertama kepada semua pembaca. Pengalaman ini merangkumi dari hari pertama saya mendaftar secara sukarela di bawah program suntikan vaksin AstraZeneca sehinggalah kepada kesan sampingan setelah menerima suntikan. Diharapkan perkongsian ini memberi 1001 manfaat kepada pembaca bahawa pentingnya vaksinasi dalam melindungi diri kita daripada virus Covid-19. 

Hari Pertama Mendaftar Program Suntikan Vaksin AstraZeneca

Saya mula mengetahui berkenaan  suntikan ini setelah membaca satu artikel berkenaan program suntikan vaksin AstraZeneca yang akan diberikan secara sukarela bermula 2 Mei 2021. Melalui program ini, sebanyak 268,800 dos telah diperuntukkan khusus untuk rakyat Selangor dan Kuala Lumpur (Fasa pertama). Melalui program ini, orang ramai yang mendaftar secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikhususkan akan diberikan vaksin itu berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’. Melihat ini sebagai satu peluang keemasan, saya telah mendaftarkan diri di dalam program ini. Sewaktu pendaftaran, kita boleh memilih tarikh dan tempat yang kita inginkan untuk divaksin. Alhamdulillah saya telah berjaya memilih tarikh 10 Mei 2021 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tempat untuk saya menerima suntikan vaksin AstraZeneca. Perancangan asal, saya nak pilih hari pertama program itu bermula iaitu 5 Mei, tetapi disebabkan oleh persaingan yang terlalu hebat (tak sampai 5 minit dah full slot!) maka, 10 Mei menjadi pilihan saya dan kawan-kawan. 

Pendaftaran untuk suntikan vaksin AstraZeneca berjaya !

    Setelah berjaya mendaftar, apa yang perlu dibuat adalah menunggu butiran temujanji yang akan diberikan dalam tempoh 48 jam (2 hari). Butiran temujanji akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera dan juga SMS. Pada bahagian ini, maklumat yang tepat perlu diisi supaya butiran ini sampai kepada kita. Kalau salah, kita yang merana, tunggu pada yang tak pasti (dah isi salah, mestilah tak sampai maklumat, hahaha). Selepas menerima butiran, kita perlu mengesahkan butiran dan mengesahkan temujanji di dalam aplikasi MySejahtera. Kalau tak disahkan dalam masa 48 jam, temujanji akan dibatalkan. Jadi sila cakna pada bahagian ini!

Butiran temujanji akan dihantar melalui SMS

Pengesahan temujanji perlu dibuat di dalam aplikasi MySejahtera

Bertubi-tubi soalan datang apabila saya mendaftar program Vaksin

Sementara menanti hari saya divaksin iaitu 10 Mei, pelbagai soalan datang kepada saya antaranya ialah :

1. Mengapa saya mendaftar untuk vaksin AstraZeneca?

- Saya mendaftar untuk vaksin ini kerana saya berpegang kepada mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Tambahan pula, vaksin ini ditawarkan secara percuma dan cepat. Dengan keadaan kes yang semakin meningkat saban hari di seluruh negara, adalah lebih baik saya mendapatkan vaksin untuk melindungi diri saya. Lebih-lebih lagi di Selangor, yang merupakan negeri berisiko tinggi untuk terkena Covid-19, kerana kadar jangkitan disini agak tinggi. 

2. Lepas vaksin, terus tak kena Covid-19 ke?

- Saya bukanlah ilmu dan pakar untuk menjawab persoalan ini, tetapi persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh pakar perubatan. Vaksin ini dapat mencegah, tetapi pencegahannya bukan bersifat 100%, tidak ada yang sempurna, masih ada risiko untuk terkena jangkitan covid-19. Tetapi sekurang-kurangnya apabila kita divaksinasi, risiko untuk mendapat simpton yang teruk teramatlah kecil. Ingat  virus covid-19 ini boleh membunuh, jadi lebih baik kita berusaha untuk mencegah. Apa guna tawakal sahaja kalau tidak ada usaha.

Hari  Suntikan Vaksin AstraZeneca (10 Mei 2021)

Hari yang dinantikan telah pun tiba iaitu hari untuk menerima suntikan vaksin AstraZeneca. Pada 10 Mei 2021, saya bersama rakan memulakan perjalanan dari Cyberjaya ke UKM, Bangi pada jam 10.30 pagi kerana temujanji kami dijadualkan pada jam 12.00 tengah hari. Kami bertolak awal kerana dalam perjalanan tersebut kami perlu melalui dua sekatan jalan raya (SJR). Jadi seperti yang dianggap SJR ini sememangnya mengambil masa. Kudos! kepada pihak polis yang telah melaksanakan SJR dengan ketat dan teliti, so kepada yang akan mengambil suntikan, rancang perjalanan anda dengan sebaik mungkin, supaya anda dapat sampai tepat pada waktunya. 

Perjalanan ke UKM, Bangi untuk vaksinasi

Salah satu SJR yang perlu ditempuhi

    Pada jam 11.40 pagi, saya bersama dengan rakan-rakan telah tiba di Dewan Gemilang, UKM, Bangi. Sebaik sahaja sampai, kami terus bergerak ke Dewan Gemilang untuk pendaftaran. Di sini setiap penerima vaksin perlu mengisi dua helai borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang telah disediakan. Anda tak perlu bawa borang sendiri, sebab apa? Sebab di UKM, Bangi memang borang telah disediakan, pen juga disediakan. Hanya bawa diri sendiri sahaja. Saya bagitahu perkara ini sebab saya ada terbaca 1 post di Twitter yang menyatakan penerima vaksin digalakkan untuk print borang sendiri dan juga membawa pen bagi memudahkan perjalanan vaksinasi. Tapi ia berbeza bagi saya, mungkin hal ini hanya teraplikasi di PPV tertentu sahaja. Tapi saya syorkan anda untuk bawa pen, okay! Ruangan untuk mengisi borang juga telah disediakan (dah macam jawab exam). Setelah selesai mengisi borang, anda hanya perlu menunggu di ruangan menunggu untuk dipanggil masuk ke dalam dewan. Tips - anda akan dipanggil mengikut barisan kerusi, barisan pertama sehinggalah barisan akhir, oleh itu kalau anda nak cepat dipanggil masuk, maka ambilah kerusi di bahagian paling depan (sekiranya ada kosong).

Ruangan exam disediakan untuk mengisi borang

Selesai isi borang persetujuan!

Menunggu untuk masuk ke Dewan (SOP Ketat)

    Setelah hampir 20 minit menunggu, akhirnya kami semua (yang temujanji jam 12.00 tengah hari) dipanggil masuk pada jam 12.15 minit (oklah, tak lama pun menunggu). Sebelum masuk, penerima perlu mempamerkan kad pengenalan dan juga butiran temujanji yang ada dalam MySejahtera kepada petugas di hadapan pintu masuk dewan. Lengkap, tidak ada masalah maka saya pun bergerak masuk ke dalam Dewan Gemilang. Di dalam dewan, saya kena menghadapi beberapa kaunter dan disini penggunaan MySejahtera amatlah penting. Oleh itu disyorkan untuk sentiasa buka aplikasi Mysejahtera. Kaunter pertama adalah kaunter pendaftaran, disini petugas akan bertanyakan beberapa soalan berkenaan dengan kesihatan kita, dan juga untuk mengesahkan kehadiran bagi vaksinasi melalui MySejahtera. Selesai di kaunter pertama, saya bergerak ke kaunter kedua iaitu Kaunter Kebenaran. Di kaunter ini, para petugas akan bertanya lagi tentang kesihatan kita, ia bagi memastikan suntikan vaksin dapat dilakukan tanpa sebarang masalah. Sekiranya tidak ada masalah, maka kita akan dibenarkan untuk menerima vaksin.

Kaunter Pendaftaran di dalam Dewan

    Alhamdulillah, saya tidak ada apa-apa masalah untuk meneruskan vaksinasi, maka saya telah diminta untuk bergerak ke kaunter suntikan vaksin (Kaunter ketiga). Untuk vaksin, jangan risau, banyak stesen disediakan, jadi proses  suntikan tak perlu tunggu lama. Tak silap dalam 5-10 minit saya dah dipanggil untuk suntikan. Sebelum suntikan, petugas memeriksa terlebih dahulu borang saya. Selesai pemeriksaan, petugas akan bertanya tentang tangan yang dominan. Sebagai contoh, saya kidal, maka tangan dominan saya adalah kiri, jadi suntikan akan dibuat pada tangan kanan (tangan bukan dominan). Untuk suntikan ia dilakukan oleh orang yang pakar, jadi ikut sahaja arahan, lembutkan tangan, serta bernafaslah dengan baik, Insya-Allah tak rasa apa-apa pun!. Serius, tak sampai 1 minit dah selesai suntikan, saya sendiri pun hairan. Biar betul, dahlah tak rasa apa-apa, lepas itu sekejap pula suntikan dia. Hahaha. 

    

Stesen suntikan vaksin

    

    Setiap orang berbeza, ada yang selepas suntikan sudah rasa perbezaan, ada yang tidak. Bagi saya, selepas suntikan, badan saya mulai panas dan berpeluh. Tetapi ianya sekejap sahaja, lebih kurang 5-10 minit. Selepas itu, kembali normal. Mungkin juga perkara ini berlaku sebab saya terlalu memikirkan tentang suntikan. Jadi tips dekat sini, lepas kena suntik, kita biarkan ia berlalu, jangan terlalu banyak berfikir, nanti boleh memberi kesan kepada kita. Kemudian setelah selesai suntikan, saya bergerak ke kaunter seterusnya (lupa pula nama kaunter). Di kaunter ini, saya diminta untuk mengesahkan pemberian vaksin, nanti akan keluar status yang kita telah menerima dos pertama di dalam Mysejahtera. Saya juga telah diberikan kad temujanji bagi dos kedua. Bagi vaksin AstraZeneca, jarak antara dos pertama dan kedua adalah selama 12 minggu (3 bulan) bagi memastikan vaksin dapat berfungsi dengan optimum. 

    Selesai di kaunter ini, maka yang terakhir adalah kaunter pemerhatian. Di kaunter pemerhatian, saya perlu menunggu selama 30 minit sebelum dipanggil oleh Doktor. Dah nama pun pemerhatin, jadi kaunter ini akan menjadi tempat pemantauan oleh Doktor untuk melihat kesan sampingan selepas divaksin. Alhamdullilah, selama 30 minit tidak ada sebarang kesan sampingan, maka selesailah perjalanan saya pada hari ini di UKM, Bangi. Oh lupa, sebelum keluar dari Dewan Gemilang, satu photo booth disediakan kepada penerima untuk penerima bergambar sebagai satu kenangan setelah divaksin. Jangan risau sekiranya anda datang seorang diri, kerana ada para petugas yang ditugaskan di photo booth tersebut untuk ambil gambar kita. Jadi jangan risau okay!. 

Kaunter pemerhatian

Saya sudah divaksin. Anda?

Kesan/Simpton selepas suntikan vaksin AstraZeneca

Sehingga kepada artikel ini ditulis (9.31 malam), saya masih belum mengalami apa-apa simpton, hanya sakit di bahagian yang disuntik sahaja. Itu pun sedikit, kebas tangan pun tak. Alhamdulillah, harap semua seperti biasa. Insya-Allah saya akan update dari semasa ke semasa tentang diri ini. Jadi kepada semua pembaca, jangan lupa untuk follow blog ini bagi mengikuti perkembangan semasa. Terima kasih kerana sudi membaca pengalaman ini, moga memberi manfaat kepada semua.